Dalam entri yang lepas, ai ada bagitahu bahawa ai dan Encik Husband ada membuat 'road trip' selama 9 hari sempena ulang tahun perkahwinan kami yang kedua. Rancang daripada sebelum kahwin, tapi selepas dua tahun perkahwinan baru lah terlaksana. Seronok percutian selepas berkahwin ni. Sebab dah ada kad hijau!
3 November, perjalanan kami dimulakan dengan menuju ke Gopeng, Perak. Sebenarnya Gopeng ini tidak termasuk di dalam perancangan kami. Ini adalah aktiviti dari tempat kerja Encik Husband. Masa Encik Husband tanya nak pergi ke tak, ai macam 'serious lah nak pergi honeymoon ke nak ikut aktiviti tempat kerja?' Tapi bila Encik Husband cakap pasal aktiviti Gua Tempurung, terus ai ok.
Di Gopeng, kami menginap di Camp Murni. Kami bergerak ke Camp Murni malam, dan tiba di sana dalam pukul 1 pagi. Ai dan Encik Husband tidur di dalam chalet sementara yang lain-lain tidur di dalam dorm. Bukan ai kekwat tau, tapi ai pun tak pasti kenapa mereka letakkan ai di chalet sedangkan ai boleh je tidur di dorm bersama yang lain-lain.
Dorm depan sungai. |
Chalet |
4 November, aktiviti dimulakan di pagi hari. Bersemangat ai bangun pagi sebab nak masuk Gua Tempurung di ulang tahun perkahwinan ai dan Encik Husband. Memang itu sahaja pun sebab utama ai nak ikut aktiviti ni. Selain dari itu, boleh lah ai berkenal-kenalan dengan rakan-rakan pejabat Encik Husband.
Kalau korang nak tahu, Camp Murni ni berhampiran dengan sungai. Dorm yang mereka duduk betul-betul di hadapan sungai. Masa baru sampai ai tak dapat nak melihat keadaan sekitar kerana gelap. Bila dah terang baru lah dapat tengok. Cantik sangat kawasan Camp Murni ni. Macam dalam kampung. Bunyi air sungai yang mengalir memang menenangkan.
Selepas sarapan pagi, kami senaman ringkas sebelum menuju ke Gua Tempurung. Untuk ke sana, kami perlu menaiki lori. Pengalaman baru untuk ai. Semua orang berdiri di bahagian belakang lori. Lepas tu menjerit-jerit menggamatkan suasana. Orang di kampung itu mungkin sudah terbiasa dengan keadaan riuh dari pengunjung seperti kami.
Lori yang kami naiki ke Gua Tempurung. |
Sebelum masuk ke dalam Gua Tempurung, kami diberi sedikit taklimat ringkas. Seorang ranjer, Pak Manan dipertanggungjawabkan untuk membawa dan memperkenalkan keadaan dan kawasan sekitar Gua Tempurung kepada kami. Pak Manan adalah bekas Komander. Dia sangat arif dengan Gua Tempurung. Dengan bantuan beberapa orang pembantu, kami selamat menyelesaikan semua cabaran.
Pada mulanya ai ingatkan aktiviti Gua Tempurung ini dalam satu jam sahaja. Rupanya makan masa selama empat jam. Berjalan, merangkak, masuk air, tengok kelawar, gelungsur dan penat semua ai berjaya lalui. Macam mana pun memang kena teruskan juga sebab tiada jalan pintas untuk keluar daripada gua itu.
Keadaan di dalam Gua Tempurung |
Untuk orang perempuan, kalau korang datang bulan dan tidak selesa berendam di dalam air sila elakkan aktiviti ini. Atau korang boleh amik pakej yang tidak perlu berendam di dalam air. Gua Tempurung ada menyediakan 4 pakej. Pakej yang kami ikut ini adalah pakej yang keempat di mana pakej yang paling jauh perjalanannya. Di bahagian yang tidak mencabar di dalam gua ada disediakan kerusi jika korang penat.
Sebelum zohor, kami selamat keluar daripada Gua Tempurung. Keadaan di luar gua hujan renyai. Sebaik sahaja kami keluar, hujan turun dengan lebatnya. Kami terus pulang ke Camp Murni untuk membersihkan diri, makan tengahari dan berehat. Petang itu diadakan aktiviti 'Food Survival'.
Kami sudah. Korang bila lagi? |
'Food Survival' adalah aktiviti di mana korang akan dibahagikan di dalam kumpulan. Setiap kumpulan diberikan menu dan korang kena masak menu yang telah ditetapkan. Kumpulan ai, Honey Bee kena masak Sambal Udang Petai dan Ikan Masin Goreng. Makanan ini akan dijadikan menu makan malam. Jadi, kenalah masak sedap-sedap.
Malamnya selepas makan malam kami ada satu lagi permainan. Selepas habis permainan, pemenang diumumkan dan Honey Bee mendapat tempat pertama. Fuhh tak sangka kumpulan ai menang. Jarang-jarang terjadi.
5 November, aktiviti hari kedua adalah Water Rafting. Akan tetapi ai tak sertai Water Rafting disebabkan hari ini juga kami akan bergerak ke Pulau Pinang. Ai tunggu mereka habis aktiviti sambil berjalan-jalan di kawasan sekitar sambil mengambil gambar pemandangan di Camp Murni dan menghabiskan masa bermain air di sungai.
Sungai betul-betul di hadapan dorm. |
Sebaik sahaja yang lain-lain tiba di Camp Murni, kami beramai-ramai mandi di dalam sungai sebelum bersiap-siap untuk pulang. Ai dan Encik Husband memulakan perjalanan ke Pulau Pinang selepas makan tengahari.
Pada ai, pengalaman di Gopeng memang sangat menarik. Kalau korang sukakan aktiviti yang lasak, korang boleh cuba untuk lakukan aktiviti ini. Seronok dan kalau dapat peluang, ai nak sertai lagi aktiviti ini. Ok, ai akan sambung berkongsi mengenai percutian di Pulau Pinang dalam entri yang lain.
P/s : Di Camp Murni ada terdapat banyak pokok buah-buahan. Kalau nasib korang baik pokok berbuah rimbun, korang boleh makan je buah tersebut.
aisyaismail
Masa berdua ni lah kena manfaatkan.Ehehehe.Macam ina pula,bila dah beranak pinak,jika aktiviti sebegini memang mimpi lah dapat pergi.Tapi dalam hati tu,memang teringin sangat.View gua ni pun cantik.. suka pula tengok..betul-betul mencabar aktvt begini.
ReplyDeleteBest kak ina. Nanti ada anak and anak2 dah dengar kata nak biasakan diorang dengan aktiviti macam ni.
DeleteBestnya berjalan sambil join aktiviti lasak.
ReplyDelete