BERBULAN MADU 3 HARI 2 MALAM DI PULAU LANGKAWI

Friday, 21 December 2018

BERBULAN MADU 3 HARI 2 MALAM DI PULAU LANGKAWI


Assalamualaikum and hye readers.



Gopeng sudah dan Pulau Pinang pun sudah. Kami teruskan perjalanan ke Pulau Langkawi sebaik sahaja keluar daripada Pulau Pinang. Akhirnya sampai juga kami ke Pulau Langkawi. Orang lain dah lima, enam, tujuh, lapan kali sampai, tapi ai baru kali kedua. Takpelah, janji dah sampai.




Disebabkan masa panjang lagi, Encik Husband ajak ai pergi ke Bukit Kayu Hitam terlebih dahulu. Kami berhenti di dua pusat membeli-belah di Bukit Kayu Hitam iaitu Kompleks Darul Qiyam dan FBT Global Enterprise. Siap kena melepasi laluan kastam tau. Cuak betul sebab tak bawa passport. Tapi hampa kedua-dua tempat tersebut tidak seperti di dalam bayangan kami.


Tempat Letak Kereta di Jeti Kuala Kedah

Selepas perjalanan di Gopeng dan Pulau Pinang, kali ini ai dan Encik Husband nak bagi kereta kami berehat dahulu. Setibanya kami di Jeti Kuala Kedah, kami mencari tempat letak kereta yang sesuai dan selesa untuk merehatkan kereta kami selama dua malam. 


Di sana, tak susah pun nak cari tempat letak kereta kerana mereka sendiri yang mencari kami. Adalah dua tiga orang yang menawarkan khidmat letak kereta kepada kami. Siap ikut kereta kami dari belakang. Seram tau. Padahal nak suruh kami masuk parking dia je.


Parking paling hampir dengan jeti. Gambar diambil dari Google Maps.

Kebanyakan tempat mengenakan bayaran RM10 satu hari. Begitu juga dengan tempat pilihan kami yang menulis pada papan tanda 'RM10 sehari' dan 'parking berbumbung' sebesar-besar alam. Bila kami nak bayar, mereka kenakan bayaran sebanyak RM45.


Aik? 3hari 2 malam terus jadi RM45? Bumbung pun tak nampak bayang. Malas nak kecoh-kecoh takut kereta kami tak selamat. Mungkin ramai pelanggan yang macam kami lah membuatkan mereka berani berbuat demikian.


Setelah selesai urusan meletakkan kereta kesayangan, kami berjalan kaki ke Jeti Kuala Kedah. Dekat sahaja. Kami beli tiket feri secara online pada pukul 3.30petang, jam baru sahaja menunjukkan ke pukul 1.30 petang. Nasib baik sejam kemudian, kami dibenarkan naik feri awal kerana ada kekosongan tempat. Yang ini kena rajin bertanya dan atas budi bicara pekerja di sana.




Sewa Kereta di Pulau Langkawi

Kami tiba di Pulau Langkawi lebih awal. Seperti yang dijanjikan, kami bertemu dengan pemilik kereta sewa di luar Jeti Langkawi. Baik orangnya. Kereta Viva Putih berharga RM80. Mahal? Ya, sebab masa tu cuti perayaan. Semuanya jadi mahal. Kalau pergi semasa bukan perayaan, harga akan jadi lebih murah. 


Jika korang ke Langkawi tanpa menyewa kereta terlebih dahulu, jangan risau kerana ramai je yang akan tawarkan kereta sewa kat korang sebaik sahaja keluar dari Jeti Langkawi. Korang cuma perlu pilih sahaja. Buat lah perbandingan terlebih dahulu sebelum memilih.


Pemandangan Jeti Langkawi dari Dataran Lang.


Sementara menunggu kereta tiba, kami mengambil kesempatan untuk pergi ke Dataran Lang. Jalan kaki sahaja kerana tidak jauh dari jeti. Penat terasa sangat sangat waktu ni. Ai sempat singgah di Tourism Malaysia di luar jeti untuk mendapatkan peta Langkawi. Pada ai peta tu penting untuk merancang perjalanan. 


Dayang Bay Resort, Langkawi

Setelah dapat kunci kereta, kami bertolak ke hotel yang telah ditempah secara online. Kami menginap di Dayang Bay Resort, Kuah. Pemandangannya cantik sangat. Bilik ai betul-betul mengadap kolam renang dan laut. Siap ada balkoni lagi. Tapi sayang, seperti di Pulau Pinang, hotel ini juga tidak menyediakan seterika di dalam bilik. Seterika disediakan di dalam bilik khas di level yang sama. Kira ok lah dari tak dapat langsung.


Pemandangan kolam renang dan laut. Lampu hujung tu adalah Dataran Lang.


Petang itu kami habiskan masa berehat di bilik sambil menikmati pemandangan sahaja. Malam barulah kami keluar bersiar-siar di Pantai Cenang. Tapi tak pergi pantai pun. Jalan-jalan dekat tapak jualan. Banyak barangan yang dijual dengan harga yang murah jika nak dibandingkan dengan tempat lain.


Di sepanjang jalan itu, korang akan jumpa banyak spa yang menawarkan harga yang murah. Nak yang cantik, yang menakutkan malah yang buka kerusi tepi-tepi jalan pun ada. Ai pun sempat singgah spa untuk urut kaki. Pilihan ai semestinya spa tertutup dan yang penting tidak menakutkan. Fuh, lega dan cergas balik kaki ni nak berjalan.


Island Hoping, Langkawi

8 November, seperti biasa kami keluar awal untuk memulakan perjalanan. Selepas baersarapan di hotel, kami menuju ke jeti tempat berkumpul sebelum island hoping. Island hoping ni ada bermacam-macam harga. Nak sewa bot peribadi untuk korang je pun boleh. Pakej yang ai ambil berharga RM30 satu kepala. Kami dibawa ke Tasik Dayang Bunting, Eagle Feeding dan juga Pulau Beras Basah. Korang boleh hubungi En Elmi di talian 018-9430633untuk sebarang pertanyaan.


Di Tasik Dayang Bunting ai tak berapa seronok. Kami diberi masa selama satu jam untuk menikmati tasik tersebut. Akan tetapi, berjalan kaki ke sana pun dah mengambil masa yang lama. Belum lagi berhenti rehat dan diganggu monyet-monyet yang berkeliaran. Dilarang sama sekali membawa beg plastik ya, kerana monyet tersebut akan berebut beg plastik itu dengan korang.




Penat sangat naik turun bukit untuk dapatkan Tasik Dayang Bunting. Nasib baik ai dah urut kaki pada malam sebelumnya. Selesai di Tasik Dayang Bungting, kami dibawa pula untuk Eagle Feeding. Tapi tak beri makan pun pada burung helang tersebut, tengok sahaja. Memang banyak helang berkumpul. Mungkin kerana mereka tahu akan ada pengunjung yang beri mereka makan di situ.


Lokasi terakhir untuk island hoping adalah Pulau Beras Basah. Di pulau tersebut korang diberi masa satu jam juga. Boleh mandi. Ai suka sangat Pulau Beras Basah ni sebab pemandangannya yang cantik dan air lautnya yang jernih. Bot-bot yang membawa penumpang parking tidak jauh dari kami menambahkan keindahan pemandangan tersebut. Tapi ai tak mandi pun, sebab jaga beg takut-takut dibawa lari oleh monyet yang berkeliaran.




Semasa island hoping, tolonglah tepati masa yang diberikan. Jangan lupa diri sampai tak ingat korang dah terlebih masa di setiap hentian. Kalau yang bawa bot tu bersabar, alhamdulillah. Kalau yang tak sabar, selamat tinggallah korang. Dah satu hal korang nak kena bayar untuk tumpang bot lain. Itu pun kalau bot tersebut nak tumpangkan korang.


Gamat Nusantara

Satu-satunya tempat yang kami pergi di Langkawi yang tidak menggunakan banyak tenaga adalah Gamat Nusantara. Di sana terdapat pelbagai barangan yang berasaskan gamat seperti minyak gamat, minyak urut, losyen, sabun mandi dan macam-macam lagi.




Sempat juga ai melihat gamat yang sedang dimasak di dalam kuali besar. Bau dia boleh tahan. Sekejap je ai mampu tengok proses tersebut. Selepas melihat-lihat di kawasan sekitar dan memilih minyak gamat, kami bergerak ke destinasi yang seterusnya.


Kota Mahsuri / Makam Mahsuri

Jangan panik dan keliru kalau korang tak jumpa Makam Mahsuri di dalam waze kerana Makam Mahsuri dan Kota Mahsuri adalah tempat yang sama. Terima kasih pada peta yang kami ambil di Tourism Malaysia kerana sangat membantu kami dalam mencari jalan di sekitar Langkawi.


Abaikan kulit muka yang dah terbakar tu ya. Maklumlah berjemur je di Langkawi.


Rasanya kebanyakan orang di Malaysia dah tahu sejarah Mahsuri yang difitnah dan dihukum bunuh lalu darahnya bertukar menjadi putih. Mahsuri telah menyumpah Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan. Selain makam, di Makam Mahsuri juga terletaknya rumah Mahsuri dan Penghulu. Di sana juga ada disediakan persembahan agar pengunjung tidak berasa bosan dan lebih faham mengenai sejarah Mahsuri.


Laman Padi, Langkawi

Puas ai mencari sawah padi untuk bergambar di Langkawi. Laman Padi adalah lokasi yang ai nantikan. Lokasinya terletak berhampiran dengan Pantai Chenang. Setibanya di sana, rupa-rupanya Laman Padi adalah kawasan tapak sawah padi yang kecil. Bukan sawah padi yang luas terbentang berlatar belakangkan bukit bukau seperti dalam bayangan. Tapi, di situ ada restoran yang cantik. Mungkin sawah padi tersebut adalah kepunyaan restoran tersebut.




Walaupun hanya berlatar belakangkan sawah rongak, namun kami tetap nikmati keindahan di tempat itu. Pada ai, jika Laman Padi di jaga dengan lebih baik, tempat itu akan menjadi lebih menarik. Pada mulanya kami nak makan di situ tetapi niat kami terbatal kerana kami memilih untuk pergi ke pasar malam.


Pada sebelah malam, ai dan Encik Husband menghabiskan masa berendam di kolam renang sahaja. Bagusnya kolam renang di Dayang Bay Resort ini, kolamnya agak luas dan ada bahagian untuk wanita sahaja. Haa tak perlulah nak bercampur wanita dan lelaki di dalam satu kolam. 


Skycab, Skydome, Skyrex dan Trick Art Museum - Oriental Village

9 November, hari terakhir di Langkawi barulah terasa malas nak berjalan. Hari ini kami hanya nak pergi ke Oriental Village. Selepas check out, dengan berpandukan Waze, kami menuju ke Oriental Village tanpa ada sebarang masalah. Jauh juga dari tempat kami menginap.


Sampai di Oriental Village, kami terus beratur dan membeli tiket cable car untuk ke SkyBridge. Tiket yang kami beli pakej sekali dengan Skycab, Skydome, Skytrex dan Trick Art Museum. Jimat banyak tau. Kalau korang beli satu-satu harganya lebih mahal. Tapi ai tak pasti boleh ke tidak beli tiket berasingan. Dah ada yang pakej, kami beli sahaja. Tiket untuk ke SkyBridge perlu dibeli bila tiba di atas nanti.


Bila dah beli tiket, terus beratur untuk menaiki Skycab. Kalau tunggu-tunggu, mesti korang akan rasa menyesal sebab sekejap sahaja barisan dah panjang ke hujung dunia. Dalam Skycab tu, tak ada satu pun gambar ai yang indah untuk dipandang. Ai ni penakut, korang rasa ai gembira tak dalam Skycab tu? Bila tiba di atas, ya Allah cantiknya pemandangan. Tak rugi gigihkan diri naik SkyCab.





Untuk ke SkyBridge, korang ada dua pilihan sama ada menaiki SkyGlide dengan harga RM10 atau berjalan kaki melalui SkyTrail dengan harga rm5. Kami pilih untuk berjalan kaki kerana ai dah nampak SkyGlide itu tak ubah seperti SkyCab walaupun dia berjalan di atas tanah. Gemuruh tadi masih tak habis lagi.


Ingatkan SkyCab yang paling mencabar, rupa-rupanya SkyBridge lebih mencabar. Jambatan tu bergoyang membuatkan darah gemuruh ai datang kembali. Takut! Sungguh ai tak nak pergi ke SkyBridge lagi. Lepas dah puas melihat dan mengambil gambar pemandangan, kami turun semula ke Oriental Village. Masih kena beratur. Oh ya, oleh kerana kami bedua, jadi kami sering dapat potong barisan untuk penuhkan SkyCab yang tak cukup orang.




Sampai sahaja di bawah, kami pergi ke SkyDome. SkyDome ni animasi rollercoaster. Selama 10 mint korang duduk di atas kerusi di dalam bilik gelap dan saksikan animasi di skrin besar. Korang seperti berada di dalam skrin tersebut. Sama seperti SkyTrex yang membawa korang ke zaman dinasor.  Kalau korang pernah tengok wayang 6D, begitulah pengalamannya. Encik Husband kata bosan, tapi ai seronok.


Destinasi terakhir adalah 3D Art Langkawi. Tak banyak bezanya dengan 3D Art di tempat lain. Tapi bila dah masuk, seronok juga ambil gambar berlatarkan gambar-gambar 3D yang dilukis pada dinding. Kreatif betul artis yang melukis lukisan-lukisan tersebut.




Selesai semua tempat, kami ke The Zon, Pantai Cenang untuk memborong coklat. Untuk korang yang nak kan tips, pada ai coklat lebih murah di The Zon. Barangan dapur pula lebih berbaloi dibeli di HIG Group. Selesai membeli-belah kami bergegas ke jeti dan memulangkan semula kereta sewa. Kami tiba di Jeti Kuala Kedah hampir pukul 8 malam.


Malam itu kami bermalam di Ipoh sebelum bertolak ke Cameron Highlands keesokan harinya. Nasihat ai, kemana pun korang pergi, tempah lah hotel awal. Ingatkan nak walk in je di Ipoh, sekali semua hotel mampu milik penuh. Akhirnya kami tidur di hotel bajet yang seram sahaja. Menyesal sampai ke hari ini.




aisyaismail

9 comments:

  1. syoknya bercuti jalan-jalan sakan

    ReplyDelete
  2. Bestnya cecuti Mesia.
    Time Mrs. A pergi dulu umat manusia punylah ramai que dapat naik skycab pun dah malam satu apa pun dah tak nampak huhuhuu...

    ReplyDelete
  3. wahhh seronoknya pii Langkawi :)

    ReplyDelete
  4. lama tak pergi langkawi..ada beberapa tempat yang belum pergi lagi..nampaknya kena repeat nanti

    ReplyDelete
  5. Eh eh teringat pula masa setahun kahwin dengan suami pun pergi langkawi juga .Masa tu join rombongan tempat kerja. Sekarang ni lama dah tak pergi

    ReplyDelete
  6. Langkawi paling tenang waktu biasa. Hehe tapi tak seronok sebab tak berebut .Kihkihkih

    ReplyDelete
  7. bestnya pergi langkawi. selamat berbulan madu kak

    ReplyDelete
  8. last sekali pi Langkawi 2 tahun lepas..seronok2 jalan2 Langkawi

    ReplyDelete

Janga lupa untuk tinggalkan komen =D