Ada tak penggemar daun ketumbar? Ramai orang tak boleh nak bezakan daun ketumbar dengan daun sup. Kalau macam Ai bukan tak tahu, tapi sesekali nak cepat tu memang main ambil tak teliti dulu rupa bentuk dia.
Daun ketumbar yang juga dikenali sebagai coriandrum sativum adalah daun yang popular dalam dunia masakan dan juga perubatan tradisional. Ai suka bau daun ketumbar ni, wangi. Lebih-lebih lagi kalau dalam masakan. Fuh! Tapi ada orang kata busuk pula. Khasiatnya juga pelbagai dan dah dimanfaatkan sejak beribu tahun dahulu.
Beberapa minggu lepas masa Ai balik kampung, Mak ada minta Ai masakkan sup ikan. Disebabkan sup ikan ni boleh dikategorikan sebagai resipi yang mudah, Ai nak susahkan dengan hiasan dia. Tak susah mana pun, cuma nak cantikkan dengan tabur daun sup je. Kan cantik sup ada warna kehijauan.
Ai ajak Coco ke Lotus's untuk beli daun sup, dan Coco ok je jalan-jalan sambil cuci mata. Balik rumah tu, masa keluarkan daun sup dari plastik, Ai dah bau lain tapi Ai buat-buat macam salah bau. Bila Ai potong je, mak terus tanya daun apa yang Ai beli. Terus Ai tersedar, ini daun ketumbar! Hahaha!
Aduhai... kesian Mak sebab dia tak makan daun ketumbar. Selepas tu, setiap kali nak beli daun ketumbar atau daun sup Ai akan periksa betul-betul walaupun dah yakin itu daun yang Ai nak beli. Tak salah pun kalau kita pastikan betul-betul. Jadi, macam mana nak bezakan daun ketumbar dan daun sup?
Baca juga: 6 kegunaan kulit limau
Perbezaan daun ketumbar dan daun sup
Walaupun mempunyai rupa yang hampir serupa, namun kedua-duanya mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Korang boleh bezakan dengan mudah jika tahu dan peka dengan perbezaan-perbezaan ini.
1. Nama di pasaran
Jika di pasaraya, selalunya sudah dilabel dengan nama daun ketumbar atau daun sup sama ada di plastik pembungkusan, tanda harga yang ditampal, mahupun papan tanda yang besar. Tapi kadang-kadang ianya dilabel menggunakan nama saintifik dan Bahasa Inggeris coriander leaves atau cilantro untuk daun ketumbar (coriandrum sativum) dan celery leaves, chinese celery atau parsley (petroselinum crispum) untuk daun sup.
2. Rasa
Daun ketumbar ada rasa sitrus dan agak pedas sedikit. Pedas yang boleh diterima, bukan pedas cili tau tapi pedas daun. Haaa faham ke tu? Hehehe! Manakala daun sup pula mempunyai rasa yang lebih ringan, agak manis, berserat dan kadang-kadang ada rasa daun herba.
3. Bau
Daun ketumbar mempunyai bau sitrus yang agak kuat namun menyegarkan. Ada orang berpendapat baunya wangi dan ada yang berpendapat baunya busuk dan tak boleh diterima apatah lagi untuk memakannya. Manakala daun sup pula baunya lebih wangi dan lembut.
4. Bentuk daun dan batang
Daun ketumbar memiliki bentuk daun yang berbentuk bulat dengan warna hijau tua dan terbahagi kepada beberapa segmen yang lebih kecil. Bentuk dan ukuran daunnya sangat mirip dengan daun parsley. Batangnya pula lebih kurus dan pendek. Daun sup pula memiliki bentuk daun yang runcing dalam kelompok yang lebih kecil. Berwarna hijau tua dengan tangkai yang lebih gemuk dan panjang.
5. Akar pokok
Bagi daun ketumbar, akarnya lebih besar dan tebal serta mempunyai ciri akar tunjang jika nak dibandingkan dengan daun sup yang mempunyai akar yang agak kecil dan lebih berserabut.
Cara simpan daun ketumbar dengan betul agar kekal segar
Jika nak dibandingkan dengan daun sup, daun ketumbar lebih cepat layu dan rosak walaupun korang simpan dalam peti sejuk. Tapi kalau korang simpan dengan betul, insya-Allah daun ketumbar boleh tahan lama.
1. Basuh daun ketumbar dengan lembut untuk mehilangkan kotoran dan bahan kimia yang berlebihan. Jangan kasar-kasar, hancur pula daun tu nanti. Guna air paip je. Kemudian keringkan guna tuala bersih atau tisu dapur.
2. Ambil sekeping tisu dapur yang bersih dan lembabkan sedikit dengan air sejuk. Letakkan daun ketumbar di atas tisu dan lilitkan tisu secara perlahan. Jangan terlalu ketat. Kemudian masukkan ke dalam plastik dan simpan di dalam peti sejuk.
3. Elakkan kelembapan yang berlebihan dalam beg plastik kerana ia boleh menyebaban daun ketumbar layu dengan cepat. Pastikan tisu ditukar jika sudah kering.
Dengan tiga langkah di atas, insya-Allah korang boleh kekalkan kesegaran daun ketumbar kira-kira satu hingga dua minggu.
Khasiat dan manfaat daun ketumbar
Makanan yang berasaskan tumbuhan berwarna hijau ni memang banyak manfaat dia. Daun ketumbar tidak terkecuali dengan pelbagai khasiat dan manfaat yang memberi impak kesan positif kepada kesihatan manusia.
Selain baik dalam kesihatan, daun ketumbar juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat masalah seperti batuk, demam dan keletihan. Aroma dan rasa daun ketumbar juga memberikan nilai tambah dalam hidangan masakan, meningkatkan selera dann menyumbang kepada variasi rasa dalam makanan.
Pendek kata, daun ketumbar adalah herba yang bermanfaat yang memberikan pelbagai khasiat kesihatan serta penambah rasa dalam makanan serta menjadikannya penting dalam gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.
Daun ketumbar merbahaya?
Secara umumnya daun ketumbar adalah selamat untuk dimakan dan digunakan dalam jumlah biasa dalam makanan. Namun ada individu yang mungkin mengalami alahan atau reaksi kulit terhadap daun ketumbar. Sebab tu penting untuk ambil berat terhadap tanda-tanda reaksi alergi.
Bukan untuk daun ketumbar sahaja, malah semua jenis makanan di dunia ini. Nampak sedap belum tentu sesuai untuk kita. Kalau korang ada penyakit yang tertentu dan ragu-ragu untuk makan daun ketumbar tapi nak makan, tanyalah pada doktor pakar korang kerana mereka lebih tahu apa yang sesuai dan tidak untuk dimakan.
Berapa harganya?
Daun ketumbar tak mahal pun, biasanya Ai beli bergantung lokasi di mana beli. Kalau pergi tempat yang pakai kipas, murah lagi dari tempat yang berpenghawa dingin. Tapi masih mampu untuk dimakan. Guna pun tak banyak dalam masakan, jadi tak perlu lah beli banyak-banyak. Belum pernah lagi Ai tengok orang makan daun ketumbar macam makan nasi. Hehehe!
Di mana nak beli?
Daun ketumbar boleh dibeli di pasar raya, pasar tani, pasar basah, pasar malam atau kedai runcit. Ada tempat dah siap ikat atau dalam plastik, ada tempat lain pula boleh ambil ikut kuantiti yang kita nak baru ditimbang. Selalunya yang timbang kemudian ni lebih murah. Betul ke? Kalau korang sejenis yang nak kena selalu makan daun ketumbar, tanam je sendiri. Dalam pasu pun boleh hidup.
Tak tahan bau daun ketumbar
Kalau tanya Ai, bau daun ketumbar tu wangi. Lebih-lebih lagi bila dah dimasukkan ke dalam makanan. Sedapnya bau dia, harum semerbak. Tapi tak semua orang suka. Macam Ai cerita tadi, Mak tak suka bau daun ketumbar. Boleh potong selera dia.
Mak lebih sanggup tak makan dari bau daun ketumbar. Huhuhu! Tapi itu selera masing-masing, dan pada Ai selera Mak lebih penting. Takpe lah Ai tak makan daun ketumbar dari Mak tak makan langsung.
Makanan menggunakan daun ketumbar
Sering digunakan dalam pelbagai jenis makanan untuk menaikkan rasa dan aroma yang unik. Contoh makanan yang menggunakan daun ketumbar seperti sup, kari, nasi beriyani, nasi goreng, mee goreng, lauk-pauk seperti rendang dan daging goreng serta hidangan seperti spring roll atau nasi ulam dan banyak lagi.
Selain itu, daun ketumbar juga sering digunakan sebagai hiasan dan perasa dalam salad, sandwich dan hidangan berbahan dasar daging, ikan atau ayam. Dalam masakan Asia, daun ketumbar digunakan sebagai bahan penting dalam hidangan seperti pho Vietnam, nasi lemak Malaysia dan pad Thai Thailand.
Dengan kehadiran daun ketumbar, makanan mendapat cita rasa tambahan dan aroma yang segar dan menjadikannya elemen paling penting dalam dapur dan seni masakan. Apa lagi, cari daun ketumbar untuk tambah rasa enak dalam makanan korang.
Baca juga: Sotong Masak Kicap
Baca juga: Daun kesum
Sha sukabau daun ketumbar.. bau dia wangi giler..
ReplyDeleteSama lah. Suka sangat.
Delete