Salah satu daripada senarai tempat yang Ai nak pergi adalah, Taman Burung! Mungkin orang akan cakap, lah taman burung je? Buat apa nak tengok burung? Depan rumah pun boleh tengok burung juga.
Tak sama ye. Kalau setakat nak tengok burung gagak, pipit, merpati, memang senang nak jumpa. Tapi nak tengok burung yang jarang dapat tengok, kenalah pergi tempat yang betul. Lagipun, cara setiap orang nak healing kan lain-lain.
Bila dah nak tu, Ai cuba-cubalah cadangkan pada Coco. Dia ok je, selalu sokong cara Ai nak healing. Hehehe! Syukur alhamdulillah. Kami tak pergi berdua ya, ajak satu keluarga belah dia dan kebetulan semua nak ikut. Meriah healing Ai. Berganda kemeriahan.
Kadang-kadang kita rasa nak berseronok ni perlu ada keluarga kecil je, tapi sebenarnya lebih ramai lebih meriah. Tengok jugalah situasi. Kalau nk candle light dinner, cukuplah korang pergi berdua dengan pasangan je. Lebih romantik orang kata.
Baca juga: Farm in The City
Tengok burung di KL Bird Park
KL Bird Park yang terletak betul-batul di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ni dah menjadi destinasi pelancongan yang terkenal sejak di awal penubuhannya. Pertama kali Ai jejakkan kaki pun dah tak ingat tahun bila, tapi yang pasti dah lama dulu. Baru-baru ni baru jejakkan semula. Dan ya, masih seronok.
Di sini menempatkan kira-kira 3000 ekor burung tempatan dan luar negara dengan lebih kurang 200 spesis burung. Tapi kan, Ai rasa burung kali ni tak sebanyak kali pertama Ai pergi dulu. Mungkin dia menyorok kot.
Di KL Bird Park, ada bahagian yang membiarkan burung-burung berkeliaran secara bebas dan ada tempat yang burung dikurung di dalam sangkar. Mungkin untuk keselamatan. Inilah yang membezakannya dengan mana-mana burung yang ada di Malaysa ni. Tapi Ai lebih suka burung-burung di luar, nak ambil gambar pun cantik. Pandai bergambar pula tu, duduk diam je macam dah tahu orang nak ambil gambar.
Tarikan di KL Bird Park
Di sini terdapat 4 zon di mana setiap zon menempatkan spesis burung yang berbeza-beza. Menariknya, di setiap zon korang akan berjumpa dengan burung-burung dari pelbagai spesis yang bergerak bebas. Ambillah gambar sepuas hari korang. Dijamin gambar cantik meletup.
Zon 1
Masuk je dari pintu utama, macam tak ada apa-apa. Anak buah Ai siap cakap lagi, "tak ada pun burung!" Pengembaraan bermula sebaik sahaja korang melangkah kaki ke dalam kandang burung. Di setiap pelusuk tempat korang boleh nampak burung-burung melenggang kangkung. Tak takut dengan manusia ye. Tapi janganlah sergah dia, lemah jantung burung-burung tu nanti.
Di sini juga korang boleh lihat Indian Blue Peacock atau burung merak yang berwarna biru. Nampak biasa, tapi bila dia kembangkan ekor, terpesona mata memandang. Ada juga warna putih yang Ai panggil merak pengantin. Suka-suka je Ai bagi nama. Hehehe! Tapi yang putih ni kena kurung dalam sangkar. Di zon 1 ni juga korang boleh lihat merpati terbesar di dunia.
Salah satu tarikan yang menarik di zon 1 adalah kolam Flamingo. Korang boleh tengok secara dekat flamingo bertemu paruh. Alaa macam tuala kat bilik hotel yang dihias untuk pakej bulan madu tu. Asyik tengok tuala je, tengoklah yang ada depan mata pula. Ehh itu swan kan? Ok, Ai salah burung. Hihihi!
Zon 2
Kawasan ini disambungkan dari zon 1 melalui sebuah jambatan. Pernah dengar tak mata burung unta lebih besar dari otak mereka? Di zon 2 ni korang boleh melihat dengan lebih dekat spesis burung unta. Jadi, korang nilaikan lah sendiri bahagian mana yang lebih besar. Selain itu, korang juga boleh berjumpa dengan burung merak yang lebih matang.
Zon 3
Di sinilah terletaknya burung enggang atau dalam bahasa inggeris, hornbill yang menjadi salah satu tarikan terbesar di sini. Anak buah Ai teruja nak datang ke KL Bird Park hanya disebabkan tengok burung enggang terbesar dalam video youtube.
Tapi bukan rezeki dia, burung enggan tak ada di tempat yang sepatutnya dia berada. Menyorok kot. Yang ada cuma yang kecil-kecil je. Dah nama pun tarikan terbesar kan, jadi ada Restoran Hornbill bersebelahan dengan kedai cenderahati.
Menariknya restoran ni, korang makan sambil tengok keindahan alam dengan bunyi-bunyi burung yang mengasyikkan. Kalau korang bernasib baik, akan ada burung yang datang dekat dengan korang. Masa ni ambillah gambar, bukan senang nak dapat peluang ni.
Zon 4
Tak lengkap rasanya kalau tengok burung tanpa burung kakak tua. Terdapat dalam 20 spesis burung kakak tua di sini. Jangan lepaskan peluang untuk melihat semua spesis ini kerana ada burung kakak tua yang jarang ditemui. Malah ada yang terancam.
Selain itu, korang juga boleh melihat spesis burung terbesar tapi tidak mampu untuk terbang seperti burung unta. Namun, burung unta mempunyai keupayaan untuk berlari dengan laju kerana kakinya yang panjang dan kuat. Jaga-jaga, jangan cari pasal dengan burung unta!
Stesen pendidikan
Korang mesti tak pernah tengok macam mana telur ayam atau itik menetas kan? Di stesen pendidikan ada dipertontonkan bagaimana ayam dan itik ini diinkubasi menggunakan inkubator. Tapi bukanlah korang duduk kat situ boleh tengok bagaimana telur-telur tu menetas kerana ia memerlukan proses berminggu-minggu. Tapi kalau bernasib baik, korang dapat tengok telur menetas depan mata.
Dah sampai ke zon 4, pastikan korang lalu di bawah air terjun buatan yang cantik tu. Macam lalu dalam gua tau. Sangat cantik. Dan berhampiran air terjun tersebut adalah tempat untuk menyaksikan persembahan oleh burung-burung yang telah dilatih sehingga bijak pandai.
Aktiviti yang menarik
Banyak aktiviti yang menarik di sini. Korang boleh saksikan banyak persembahan burung mengikut masa dan zon yang ditetapkan selain aktiviti pembelajaran. Jadi, tak ada istilah KL Bird Park hanya untuk kanak-kanak. Keluasannya sahaja dah lebih 10 ribu langkah untuk orang dewasa.
Harga tiket di KL Bird Park
Tanpa Mykad
Dewasa: RM85.00
Kanak-kanak: RM60.00
Dengan Mykad
Dewasa: RM35.00
Kanak-kanak 3 ke 11 tahun: RM15.00
Bawah 3 tahun: Percuma
Warga emas 60 tahun ke atas: RM15.00
Pakej-pakej yang ada
Tempat besar dan menarik macam KL Bird Park ni, mestilah ada banyak pakej-pakej yang menarik. Pakej apa yang ada? Korang kena teruskan membaca.
Pakej parti hari jadi
Pening nak fikirkan lokasi hari jadi? Di sini ada menyediakan dari lokasi hinggalah makanan. Best kan sambut hari jadi sambil tengok burung-burung bertenggek. Tak payah pening-pening, pihak KL Bird Park sediakan semuanya.
Info lanjut: Pakej hari jadi KL Bird Park
Pakej lain
1. Pakej hari keluarga
2. Pakej fotografi pra perkahwinan
3. Pakej seminar
4. Pakej sekolah
Untuk segala pakej ni, korang boleh hubungi terus jabatan marketing KL Bird Park di talian 03-22721010 atau email ke info@klbirdpark.com.
Baca juga: Pakej KL Bird Park
Lokasi KL Bird Park
Alamat: 920 Jalan Cenderawasih, Taman Tasik Perdana 50480 Kuala Lumpur.
Waktu operasi
KL Bird Park dibuka pada setiap hari dari jam 9.00am sehingga 5.30pm. Datang lah pagi untuk elakkan sebarang kejadiaan yang tidak diingini seperti cuaca yang tak menentu, terlepas tengok persembahan dan sebagainya. Lagipun kalau korang datang pagi, tak terburu-buru nak menerokai seluruh taman burung ni.
Spot cantik bergambar
Haaa... Ni instragramer sukalah ni. Memang banyak tempat yang menarik dan cantik untuk korang bergambar sakan. Setiap ruang dan langkah korang akan nampak tempat-tempat yang cantik, menarik, tertarik, the bomb! Malah, burung di sana pun ada yang pandai posing tau. Terutamanya burung merak, kakak tua dan flamingo. Ai paling geram tengok burung merak show off ekor dia tu. Hahaha!
Mesra kerusi roda
Ramai orang tak suka pergi tempat-tempat macam ni kerana tak boleh nak tinggalkan orang tua di rumah. Nak bawa pula, orang tua tak boleh jalan jauh atau kaki tak kuat untuk berjalan. Nak tinggalkan kesian. Korang bawa je, guna kerusi roda. Mesti ibu bapa seronok dapat tengok burung bersama-sama anak dan cucu mereka.
KL Bird Park mesra kerusi roda. Kalau tak silap, ada satu je laluan yang Ai nampak ada tangga sahaja tanpa laluan kerusi roda. Tapi masih ada laluan lain yang korang boleh lalu untuk ke tempat yang sama. Jadi, tak ada masalah. Nak bawa stroller pun tak ada masalah.
Tip di taman burung KL Bird Park
Sebelum masuk ke dalam taman burung, pastikan kamera atau telefon sudah dicas penuh. Dah masuk ke dalam nanti, banyak gambar dan video yang korang nak ambil. Dikhuatiri bateri korang tak mencukupi pula. Sedih pula kalau tak dapat bergambar dengan burung merak.
Burung-burung di KL Bird Park sangat jinak. Korang boleh datang dekat untuk bergambar. Tapi awas! Jangan buat mereka rasa terancam atau korang terleka kerana burung-burung ini masih haiwan yang tak kenal korang dan mungkin mematuk tanpa amaran. Spoil mood korang je nanti.
Jika korang tengok jadual di atas, ada waktu-waktu tertentu burung-burung diberi makan. Waktu inilah spesis burung yang bersembunyi di sebalik pokok akan keluar. Makin banyak burung untuk dilihat.
Tiada mesin ATM di dalam taman burung. Sila bawa wang tunai yang secukupnya untuk membeli cenderamata, makan minum mahupun tambang.
Sesuai untuk seisi keluarga
Hujung minggu atau cuti sekolah, kalau korang tak ada idea untuk habiskan waktu bersama keluarga atau rakan-rakan, korang pertimbangkanlah untuk datang ke KL Bird Park. Selain menaiki kereta, boleh juga naik bas Hop-in Hop-off. Alaaa bas yang tak ada bumbung tu. Berikan sedikit kelainan dalam aktiviti korang. Enjoy!
Baca juga: Tempat menarik di Maran
Baca juga: Zoo Negara
Sumber: KL Bird Park
makin menarik tarikan kat sini laa nih, lama dah masa kak ana last pii dulu , boleh la ada masa jenjalan sini semula :)
ReplyDeleteBoleh dah plan repeat ni kak ana.
Deleteboleh tahan jg ya harga tiket masuk. saya sangka bawah RM20...
ReplyDeleteseronok kalau datang sini ditemani budak2 kitas ama sama belajar tentang unggas dgn diorg
Dulu rasanya bawah rm20. Sekarang ni agak mahal.
DeleteSha pun teringin nak ke sini.. Bawa anak-anak best ini..
ReplyDeletePlan lah sis, mesti anak-anak suka.
DeleteBest ni boleh bawa anak-anak la nanti ^^ TQ share
ReplyDeleteBudak-budak memang suka ni.
Delete