Kafe Kleptokrat: Keunikan Dengan Suasana Vintage di Tengah Kuala Lumpur

Saturday, 24 August 2024

Kafe Kleptokrat: Keunikan Dengan Suasana Vintage di Tengah Kuala Lumpur


Orang lain dah lama sampai Kafe Kleptokrat ni, tapi Ai baru nak cuba. Bak kata orang tua-tua, biar lambat asal dapat merasa. Eh, orang tua pula dapat nama.


Masa pertama kali dengar nama kafe ni, benda pertama yang terlintas di fikiran Ai, Halal ke? Kalau kita semak maksud kleptokrat itu sendiri, jawapan yang keluar semua tak bagus. Ai tertanya-tanya juga kenapa tuan punya kafe letak nama macam tu. 


Kleptokrat merujuk kepada pemimpin yang korup. Ai anggap orang yang bertanggungjawab memilih nama ni adalah sebagai strategi pemasaran untuk menarik perhatian dan mencetuskan rasa ingin tahu. Ya, Ai salah seorang pelanggan yang tertarik perhatian dengan nama kafe ini.


Kafe Kleptokrat


Ok berbalik kepada status halal tadi, hasil carian Ai tak jumpa tentang sijil halal JAKIM untuk Kafe Kleptokrat ni. Tapi menurut havehalalwilltravel.com, semua bahan-bahan yang digunakan ada sijil halal dan ketua tukang masak di kafe ini adalah orang Islam.


Jadinya selepas Ai cuci mata di Pasar Seni hari tu, Ai dan kawan berjalan kaki mencari kafe ni. Kira tema kami pada hari itu adalah 'hipster'. Hahaha! Yang lagi best, kami cari kafe ni guna Google Map tau. Ingat bawa kereta je ke boleh guna aplikasi map ni? 


Baca juga: Tarikan di Pasar Seni


Pelbagai menu dalam dan luar negara

Daripada rupa paras kafe ni, mungkin ramai yang ingat ada menu barat je. Tak, banyak juga menu tempatan yang disajikan macam Nasi Lemak, Rendang, Bubur Nasi dan sebagainya. Nasi Ambeng dan Ikan Patin Tempoyak pun ada tau.


Kafe Kleptokrat


Selain menu tempatan, ada juga menu lain seperti spaghetti, Chicken Chop dan pelbagai jenis pencuci mulut. Korang yang acah-acah tak makan makanan tempatan tu, pilihlah menu-menu yang bukan tempatan.


Pilihan Ai, sudah tentulah menu yang bukan tempatan. Sebab menu tempatan mana-mana pun boleh cari, nak senang masak je kat rumah. 


Oleh itu, Ai pilih Salted Egg Chicken Chop Spaghetti dan Air Sirap Anak Malaysia. Air tu menangis ya, air sirap berharga RM15. Tapi rasa sirap dia unik. Nak cakap rasa Ais Tingkap pun bukan. Mungkin korang kena cuba sendiri.


Kafe Kleptokrat


Jujur, Air tu sedap. Tapi untuk harga RM15, mungkin kalau Ai pergi lagi Ai akan pertimbangkan untuk bawa air sendiri. Huhuhu. Dan makanan pula, Ai bagi 3/5 bintang sebab pada Ai biasa-biasa je. Next time Ai akan cuba makanan tempatan pula lah. Mana tahu Ai boleh bagi lima bintang pula.


Ramai juga orang cakap Roti sourdough buatan sendiri di Kafe Kleptokrat ni sedap. Sebagai orang yang bukan penggemar roti dan tak makan banyak, bawa pula kawan yang tak makan banyak juga, Ai tak order roti tu. Jangan membazir kerana membazir itu amalan syaitan!


Tempat letak kereta

Salah-satu cabaran terbesar nak ke kafe ni, kalau korang datang dengan kereta. Ruang letak kereta tak banyak. Korang boleh parking je tepi-tepi jalan kalau tak takut kena saman. Atau cari tempat parking di kawasan sekitar dan berjalan kaki sedikit.


Kalau nak senang, buat pilihan macam Ai. Naik LRT dan jalan kaki je ke Kafe Kleptokrat ni. Mudah dan cepat. Peluh-peluh sikit apa salahnya. Lagi pula, korang boleh menikmati suasana Kuala Lumpur sambil ber 'OOTD' di sana.


Walaupun tempat letak kereta yang terhad, namun kafe ni tetap menjadi pilihan ramai kerana lokasinya yang strategik dan suasana kafe itu sendiri yang menarik.


Lokasi strategik dan mudah diakses

Kafe Kleptokrat ni terletak di Jalan Tun HS Lee, berhampiran dengan Lebuh Ampang. Hanya mengambil masa beberapa minit je jika berjalan kaki dari stesen LRT Masjid Jamek. 


Kafe Kleptokrat


Dia terletak di deretan kedai tepi jalan je. Tapi korang kena perhatikan betul-betul tau, kena selalu pandang atas, tapi jangan abaikan keselamatan dengan berjalan pandang bawah juga. Kalau korang tak berjaga-jaga, mesti terlepas kafe ni.


Pintu masuk dia macam ke dalam banggunan sikit. Jadinya, korang jangan keliru dengan kafe lain yang ada disekitarnya. 



Suasana vintage di tengah Kuala Lumpur

Kafe Kleptokrat sememangnya menawarkan pengalaman unik yang susah nak jumpa di tempat lain. Salah satu tarikan utamanya adalah dekorasi vintage di dalamnya. Kafe ini didekorasi dengan perabot antik, dan dihiasi dengan seni retro.


Terdapat juga kolam renang kecil di tengah-tengah kafe. Jarang nak jumpa kafe dengan kolam renang di tengah-tengahnya. Selalunya kena pergi ke hotel, baru dapat pengalaman yang sama.


Kafe Kleptokrat


Level dua kafe ni pun cantik teruk! Tapi macam tak boleh duduk dah kat atas tu. Mungkin kerana lantai dah mula reput, atas faktor keselamatan dah tak dibenarkan untuk naik. Mungkinlah.


Ai naik juga sekejap untuk bergambar. Tapi Ai hanya naik sekadar di tangga je. Itu pun dah cantik sangat pemandangan. Oh ya, Ai macam gayat sikit sebab lantai dia bertemakan industrial, besi lubang-lubang boleh nampak bawah. Dalam kepala ni asyik doa janganlah jatuh ke bawah.


Kafe Kleptokrat


Dengan gabungan reka bentuk vintage dan suasana yang tenang, kafe ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan tetapi juga menjadi destinasi popular di kalangan pelancong asing. Masa Ai pergi tu, memang ramai pelancong. Pekerja dia 'speaking' pun, sedap je dengar. Dah macam mat salleh bunyinya.


Makan di Kafe Kleptokrat

Kalau korang tanya Ai, adakah akan pergi lagi ke kafe ni? Gila tak nak, Ai nak ambil gambar kat kolam lagi. Hahaha. Kalau ada orang ajak Ai ok je nak pergi lagi sebab Ai nak cuba Lontong dia. Nampak macam sedap.


Kafe Kleptokrat


Ai boleh katakan, kafe ni memang uniklah. Sama ada korang seorang pencinta kopi, penggemar makanan, atau pelancong yang mencari tempat untuk bersantai, Kafe Kleptokrat adalah destinasi yang korang kena cuba jika berada di Kuala Lumpur.

15 comments:

  1. nama cafe ni unik betul laaa...nice pics anyway :)

    ReplyDelete
  2. boleh laa dipertimbangkan nanti kalau dah tak tau nak makan apa kt kl ni
    suasana pun best ni!

    ReplyDelete
  3. Selamat menjamu selera
    Nampak menarik tempatnya

    ReplyDelete
  4. mak ai.. air pun dh rm15... nasiblah cafe ni instagrammable kan? tp bila part blogger jd modal content blog lah kan?? nice review nice pic

    ReplyDelete
  5. Ooo cafe ni la yg katanya cantik untuk Ootd Kan..akak X pernah sampai lagi tp ramai dh yg update...

    ReplyDelete
  6. teringin nak makan di sini bila berkunjung ke KL nanti...

    ReplyDelete
  7. cantik sgt cafe nya.. unik mcm nama nya juga kannn

    ReplyDelete
  8. sirap kenduri RM15??fuhh..demi sebuah content..

    ReplyDelete

Janga lupa untuk tinggalkan komen =D