Aisya Ismail
Aisya Ismail
  • Tentang
    • Writer
    • Privacy Policy
    • Disclaimer
  • Fesyen
    • Aksesori
    • Hijab
    • Outfit
    • Popular
    • Tip Fesyen
  • Kecantikan
  • Gaya Hidup
    • Drama dan filem
    • Info & Ilmu
    • Jalan-jalan
    • Kreatif
    • Makan Sedap
    • Random
    • Resipi
  • Sorotan
    • Info Terkini
    • Kempen
    • Kolaborasi
    • Pilihan Editor
  • Hubungi

Memilih beg dan kasut yang sesuai untuk dipadankan dengan baju kurung bila ke kenduri bukan semata-mata memilih warna atau gaya. 

Kita perlu mengambil kira keselesaan, terutama apabila perlu banyak berjalan. Nak ke parkir, naik turun tangga, bersalaman serta beramah mesra dengan tetamu dan berdiri lama untuk sesi bergambar.

Bayangkan nak buat semua tu, tiba-tiba rantai beg tersangkut pada renda bajulah, terpijak hujung kain ketika berjalanlah, kasut tercabut atau telefon berbunyi ketika kedua-dua belah tangan tengah penuh, semua ni boleh buat kita rasa kekok. Lebih-lebih lagi bila ada mata yang sedang memandang ke arah kita. 

Biasalah perempuan, bila pergi kenduri lawa macam mana pula kan. Dress up kena all out. Inilah masanya nak pakai baju kurung custom yang dah lama dalam almari tu.

Sebenarya, dengan pilihan beg, kasut dan pakaian yang sesuai, korang boleh bergerak dengan lebih selesa tanpa perlu terlalu risau tentang aksesori yang dipakai. 

Jadi, sebelum memilih beg dan kasut yang cantik untuk dipadankan dengan baju kurung, ada beberapa perkara yang boleh korang pertimbangkan terlebih dahulu.

Beg dan Kasut

Baca juga: 8 Fesyen Aisha Retno di Bigstage Rocketfuel

Mulakan Dengan Lokasi Majlis

Lokasi memainkan peranan penting dalam memilih aksesori. Kenduri di dewan atau di rumah, kedua-duanya memerlukan pilihan kasut yang berbeza.

Kalau di dewan, perlukan kasut yang selesa untuk dipakai lama. Manakala di rumah pula kasut yang mudah dipakai dan dibuka untuk masuk ke dalam rumah.

Selain tu korang kena juga pertimbangkan jarak dari parkir ke lokasi, kawasan berumput atau tidak rata, bentuk tumit, semua tu perlu di ambil kira. 

Kasut yang selesa di lantai dewan, belum tentu sama rasanya selepas berjalan jauh. Pilih kesesaan, bukan hanya rupa bentuk yang cantik.

Pilih Beg Mengikut Cara Penggunaan

Beg dan kasut

Pemilihan clutch sangat cantik jika dipadankan dengan baju kurung, tetapi penggunaannya adalah dengan memegang sebelah tangan hampir sepanjang masa. 

Kalau datang bersama anak kecil atau perlu membawa barang lain, beg yang boleh disangkut di lengan atau bahu mungkin lebih membantu.

Beg bertali pendek boleh diletakkan pada lengan ketika mengambil sesuatu. Beg dengan tali boleh laras pula memberi pilihan untuk korang ubah cara bawa, asalkan talinya tidak mengganggu tudung atau perincian pakaian.

Bila memilih beg di DOKIBAGS, cuba perhatikan cara beg dibuka dan pilihan talinya. Untuk kenduri, beg yang boleh dibawa dengan pemegang atau disangkut pada bahu mungkin lebih praktikal, terutama jika korang perlu bergerak ke sana sini sepanjang majlis. 

beg dan kasut

Cuma, pastikan semak dahulu ciri beg yang dipilih kerana setiap model mempunyai rekaan yang berbeza.

Sebelum membuat keputusan, cuba masukkan telefon dan barang yang biasa korang bawa ke dalam beg tersebut. Kemudian, keluarkan telefon dan simpan semula seperti biasa. 

Kalau nak ambil satu barang pun perlu selongkar isi beg, mungkin elok pertimbangkan rekaan lain yang lebih mudah digunakan.

Bahagian Beg yang Bersentuhan dengan Fabrik

beg dan kasut

Kalau korang memakai baju kurung atau kebaya yang dihiasi renda, sulaman dan manik, ada baiknya beri sedikit perhatian pada beg yang dipilih. 

Bukan sekadar mencari beg yang cantik dipadankan dengan baju, tetapi fikirkan juga kesesuaiannya dengan fabrik pakaian.

Cuba lihat bahagian rantai, pengancing dan hiasan pada beg. Jika ada bahagian yang kasar atau mempunyai celah kecil, ia mungkin kurang sesuai dengan kain yang halus. Jadi, periksa kemasannya terlebih dahulu tanpa perlu menggosok beg pada pakaian.

Cara korang membawa beg pun boleh mempengaruhi keselesaan sepanjang majlis. Beg yang terletak di sisi pinggang, misalnya, mungkin kerap bergesel dengan sulaman pada baju. Beg yang dibawa di bawah lengan pula boleh terasa kurang selesa jika bahagian lengan dihiasi renda yang tebal.

Kalau baju sudah mempunyai banyak perincian, beg dengan rekaan yang lebih ringkas boleh menjadi pilihan yang menarik. Penampilan nampak seimbang dan korang pun tak perlu risau tentang aksesori yang terlalu sarat.

Jika beg mempunyai tali tambahan yang tidak digunakan, simpan sahaja dengan kemas. Dengan cara ini, korang boleh bergerak dengan lebih selesa tanpa perlu kerap membetulkan kedudukan beg sepanjang majlis.

Cuba Kasut Bersama Kain yang Akan Dipakai

beg dan kasut

Sebelum hari kenduri, luangkan sedikit masa untuk mencuba kasut bersama baju dan kain yang akan dipakai nanti. Panjang kain boleh nampak berbeza apabila dipadankan dengan kasut yang berlainan ketinggian serta rekaan.

Selepas memakai set lengkap, cuba berjalan beberapa langkah dan berpusing perlahan-lahan. Perhatikan sama ada hujung kain mudah terpijak atau terselit di bawah kasut. 

Kalau kasut mempunyai hiasan seperti manik atau batu berkilat, lihat juga sama ada bahagian tersebut kerap bergesel dengan kain ketika berjalan.

Jika korang perlu mengangkat kain setiap kali melangkah, mungkin sudah tiba masanya untuk melaraskan labuhnya sebelum majlis. 

Jangan paksa diri memakai kasut bertumit lebih tinggi semata-mata untuk atasi masalah labuh kain tetapi menyakitkan kaki. Keselesaan sangat penting, lebih-lebih lagi jika perlu berdiri dan berjalan dalam tempoh yang lama.

Bagi kain yang agak ketat, cuba naik satu anak tangga. Cara ini boleh membantu korang menilai sama ada potongan kain cukup selesa untuk bergerak atau tidak. 

Pastikan Kasut Selesa dan Kemas Pada Kaki

beg dan kasut

Kasut yang mudah disarung memang praktikal, tetapi pastikan juga ia selesa dan tak mudah tertanggal ketika berjalan. Lebih-lebih lagi jika korang akan memakainya sepanjang majlis.

Setiap rekaan mempunyai cara yang berbeza untuk menyokong kaki. Slingback mempunyai tali di belakang tumit, kasut bertali sehingga buku lali pula memberikan sokongan melalui bahagian tersebut, manakala mule boleh disarung tanpa tali di belakang. 

Ketika mencuba, perhatikan sama ada kasut kekal pada kedudukannya atau korang terpaksa mencengkam jari kaki untuk mengelakkannya daripada terlucut.

Bila memilih kasut untuk kenduri, korang boleh pertimbangkan rekaan di ROSATINA yang sesuai dengan gaya dan keperluan sendiri. 

beg dan kasut

Selain warna dan rupa, lihat juga ketinggian tumit, jenis tali serta bentuk kasut. Kadangkala, kasut yang nampak hampir sama pun boleh memberikan rasa yang berbeza apabila dipakai.

Sebelum membuat pilihan, cuba berdiri dan berjalan beberapa kali. Perhatikan sama ada tali mudah berganjak, bahagian depan terasa sempit atau tumit terangkat setiap kali melangkah. 

Tali yang boleh dilaraskan memang membantu, tetapi pastikan bentuk kasut itu sendiri sesuai dengan kaki korang.

Jika bercadang memakai stoking, jangan lupa mencuba kasut bersama stoking tersebut. Perbezaan kecil pada ketebalan stoking pun boleh mempengaruhi keselesaan dan padanan kasut.

Kedudukan Beg Semasa Duduk dan Makan

beg dan kasut

Beg yang nampak cantik ketika berdiri belum tentu selesa apabila duduk untuk makan. Cuba letakkan beg di atas riba dan lihat sama ada saiznya sesuai atau mengganggu pergerakan.

Periksa juga bahagian bawah beg, terutama jika terdapat kaki logam atau hiasan keras yang boleh menekan sulaman dan manik pada pakaian.

Cuba buka beg dan ambil telefon ketika duduk. Jika mudah dicapai tanpa perlu banyak mengubah kedudukan beg, tentu lebih praktikal, terutama apabila ruang di meja makan agak terhad.

Beg bertangkai pendek mudah dialihkan dari tangan ke riba, manakala tali panjang perlu dikemaskan supaya tidak menjuntai ke lantai atau terselit di bawah kaki kerusi.

Sebelum bangun untuk bergambar, pastikan beg dan kain berada dalam kedudukan yang selesa supaya korang boleh bergerak dengan tenang.

Cuba Pakaian Lengkap Sebelum Hari Majlis

beg dan kasut

Sebelum hari kenduri, apa kata cuba sarungkan pakaian lengkap bersama tudung, beg dan kasut yang korang rancang nak pakai? Tak perlu ambil masa lama pun. Cukup sekadar bergerak seperti biasa untuk melihat sama ada semuanya selesa.

Antara perkara yang boleh korang cuba:

- Berjalan dan berpusing untuk memastikan kain tidak mudah terpijak dan beg selesa dibawa.

- Duduk dan bangun seperti biasa untuk melihat sama ada tali beg mengganggu pergerakan.

- Mengambil telefon dari beg tanpa perlu menyelongkar isinya.

- Membuka dan memakai kasut semula jika perlu.

Kalau bertudung, perhatikan juga kedudukan tali beg supaya tidak mengganggu tudung setiap kali korang bergerak.

Jika ada yang terasa kurang selesa, cuba baiki mana yang boleh. Tali beg mungkin perlu dipendekkan, labuh kain boleh dilaraskan atau kasut boleh ditukar kepada pasangan yang lebih selesa.

Lebih baik mencuba semuanya lebih awal supaya korang ada masa untuk membuat perubahan. Jadi, apabila tiba hari majlis nanti, bolehlah bersiap dengan lebih tenang dan menikmati masa bersama keluarga tanpa terlalu memikirkan perkara kecil.

Sediakan Aksesori Mengikut Keperluan Hari Itu

beg dan kasut

Sebelum melangkah keluar rumah, pastikan beg dan aksesori yang dibawa benar-benar sesuai dengan keperluan sepanjang majlis. 

Tak perlu membawa terlalu banyak barang. Cukup sekadar apa yang korang perlukan supaya beg lebih ringan dan mudah diuruskan.

Kalau bercadang membawa kasut kedua, fikirkan bila korang akan menukarnya. Cuba padankan kasut tersebut dengan kain yang sama untuk memastikan labuh kain masih sesuai dan tidak meleret apabila bertukar kasut.

Untuk majlis yang mempunyai tema atau kod pakaian tertentu, semak semula keperluannya sebelum membuat pilihan akhir. Dengan cara ini, aksesori yang dipilih bukan sahaja sesuai dengan pakaian, malah menepati suasana majlis.

Padanan Yang Cantik dan Selesa Dipakai

beg dan kasut

Memilih beg dan kasut untuk kenduri mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi kedua-duanya boleh mempengaruhi keselesaan sepanjang majlis. 

Tak perlu terlalu terikat dengan trend atau memadankan setiap aksesori mengikut warna baju. Pilih beg dan kasut yang sesuai dengan gaya sendiri, mudah digunakan dan selesa dipakai untuk tempoh yang lama.

Biarlah pilihan yang dibuat bukan sekadar cantik dalam gambar, tetapi juga sesuai untuk menemani kita dari awal hingga akhir majlis.

Siapa sempat cuci mata tengok barangan kraf di Malaysian International Craft Fair (MICF) pada 24 September hingga 5 Oktober yang lalu bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur? Best kan?

Pada mulanya Ai malas nak pergi sebab confirm ramai orang kat sana. Tapi sebagai pencinta kraf dan kesenian, hati ni meronta-ronta juga nak pergi.

Ai pergi pada hari bekerja, alhamdulillah tak ramai macam hujung minggu. Seawal 7:30 pagi Ai dah keluar rumah sebab nak naik train. 

Naik MRT, turun di stesen Conlay. Kompleks kraf betul-betul di hadapan stesen MRT. Kena melintas jalan kecil je. Kalau nak naik LRT ke, KTM ke, apa ke, sekarang dah mudah sebab dah banyak stesen pertukaran.

Baca juga: Misteri Fairy Circle

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Sebenarnya ni pertama kali Ai jejakkan kaki di sini. Selalunya lalu dan nampak dari luar je. Tak sangka pula besar gila tempatnya.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur terletak di Seksyen 63, Jalan Conlay, Kuala Lumpur dengan berkonsepkan ikonik seni. Kompleks yang bercirikan seni bina Melayu Terengganu ini menghimpunkan produk-produk kraftangan tradisi dan moden dari seluruh pelusuk negara.

Tarikan utama

Kraf autentik Malaysia: Kompleks Kraf Kuala Lumpur menawarkan kepelbagaian produk auntentik yang boleh dijadikan sebagai cenderamata, hiasan dalaman, perhiasan diri fesyen serta kegunaan harian. Cenderamata yang unik ini boleh didapatkan di kedai Karyaneka Cenderamata.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Muzium Kraf: Menyalurkan maklumat seni kraf melalui pameran artifak-artifak lama di samping memaparkan perkembangan teknologi dalam menghasilkan produk kraf serta proses pembuatannya.

Pendidikan: Banyak aktiviti yang ditawarkan melalui gabungan elemen seni dan pendidikan yang diterapkan pada setiap produk. Pengunjung dapat menyaksikan sendiri bagaimana karyawan seni menghasilkan hasil seni berimejkan Malaysia dari pelbagai medium.

Kafe: Dah penat tawaf seluruh Kompleks Kraf Kuala Lumpur, pengunjung boleh merehatkan diri sambil menjamu selera di Kafe Craft Delight.

Waktu operasi

Dibuka setiap hari dari Isnin hingga Ahad jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang.

Lawatan berkumpulan

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur jika korang nak buat lawatan berpandu berkumpulan. 

Perkhidmatan ni percuma je, tapi kalau nak buat aktiviti macam lukis batik, ikat celup, seramik dan macam-macam lagi, sediakan duit jelah.

Sebarang maklumat tambahan atau penyertaan boleh hubungi di talian 03-21611470/1480 (talian terus) atau 03-21627459/7533 (talian umum) atau e-mel ke komplekskrafkl@kraftangan.gov.my.

Karyaneka, Beraneka Cenderamata

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Sampai di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, tempat pertama yang dituju adalah Karyaneka Cenderamata. sekarang MICF dah habis, tapi Karyaneka dan tempat-tempat lain buka je macam biasa.

Kat dalam ni ada beraneka cenderamata terutamanya yang diperbuat daripada batik, songket, anyaman, ukiran dan sebagainya. Hampir satu jam juga lah Ai kat dalam tu membelek satu-persatu produk yang dijual.

Selain Watsons, Guardian dan kedai alat tulis, Ai selalu kalah dengan tempat-tempat macam ni. Ralit!

Selain Karyaneka Cenderamata, ada juga Karyaneka Korporat yang menawarkan cenderamata berasaskan logam perak, tembaga, piuter, kayu dan kristal. Ai bagitahu awal-awal, harganya tak marhaen ya. 

Kalau nak yang mampu milik, Karyaneka Cenderamatalah tempatnya. Tapi nak cuci-cuci mata, apa salahnya.

Untuk koleksi fesyen daripada batik, tenunan dan songket, korang boleh ke butik Kraf Karyaneka. Tiga serangkai ni terletak di tempat yang sama.

Muzium Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Selepas dah tawaf satu kedai, Ai masuk pula ke Muzium Kraf Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma, tapi kena daftar di pintu masuk.

Lagi sekali Ai hilang kat dalam tu. Hahaha! Kalau tadi tengok barang-barang jualan, kali ni dapat belajar tentang sejarah kraf Malaysia.

Muzium Kraf telah mula dibuka pada tahun 1995 bersama penubuhan Kompleks Kraf Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Kompleks Budaya Kraf. 

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Muzium ini ditubuhkan untuk menjadi sumber pendidikan dan rujukan dalam menghayati serta mempelajari seni kraf tempatan. Ini sebagai inisiatif Kraftangan Malaysia untuk memulihara dan melindungi seni kraf warisan negara.

Pengunjung berpeluang untuk mengenali kraf tempatan melalui keunikan produk, motif, bahan, proses pembuatan, fungsi produk serta tokoh kraf yang diiktiraf.

Selain di Kuala Lumpur, ada juga Muzium Kraf yang terletak di Langkawi, Johor dan Melaka.

Ruangan Jualan Malaysian International Craft Fair

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Ingatkan Karyaneka dan Muzium Kraf dah cukup buat Ai hilang dalam dunia sendiri. Bila turun ke ruangan jualan MICF, lagi rambang mata!

MICF ni ada dua edisi iaitu antarabangsa dan tempatan. Ai pergi betul-betul sehari selepas edisi antarabangsa tamat. Jadi, kita nikmati kraf tempatan je.

Bermacam-macam jenis kraf yang dijual dan dipamerkan di sini. Paling banyak yang Ai nampak adalah produk-produk batik dan aksesori wanita macam gelang dan rantai manik tu.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Dari mata kasar nampak macam sama je produk yang dijual, tapi kalau korang rajin belek satu-persatu gerai, setiap dari mereka ada produk killer mereka yang tersendiri.

Selain produk batik dan aksesori wanita, ada juga produk-produk ukiran kayu, lukisan, anyaman, perhiasan, tradisional dan sebagainya.

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Dalam banyak-banyak gerai jualan, Ai tertarik dengan gerai Kebaya On The Go. Korang boleh pakai kebaya yang disediakan dan ambil gambar di backdrop yang disediakan secara percuma. 

Comel-comel je mereka yang bergambar. Semua excited! Ai tak join sekali sebab malas nak tukar-tukar baju. Kalau dia bagi bawa balik terus kebaya tu, dengan pantas Ai join sekali. Tak apalah bersusah-susah sikit. Hahaha!

Pulang Ke Pangkal Jalan

Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Dah selesai tawaf MICF dua ke tiga kali, Ai patah balik ke Karyaneka Cenderamata. Tadi tengok-tengok, kali ni nak beli beberapa barang yang Ai rasa lebih kemas pembuatannya dengan harga yang lebih berpatutan dari di gerai jualan MICF.

Untuk MICF yang akan datang, pasti Ai akan pergi lagi. Dan Ai harap akan ada lebih banyak penambahbaikan dan kepelbagaian produk jualan serta mampu milik.

Kingdom merupakan drama siri thriller seram Korea Selatan yang menggabungkan kisah zombie, politik istana dan sejarah Korea pada zaman Joseon yang mula ditayangkan pada 25 Januari 2019.

Siri Netflix ini telah diadaptasi dari siri webtoon The Kingdom of the Gods karya Kim Eun Hee dan Yang Kyung Il.

Sebagai siri Korea original pertama Netflix, drama ini menerima sambutan yang positif dan kemudiannya diteruskan untuk musim kedua dan mula ditayangkan pada 13 Mac 2020.

Pada 23 Julai 2021, sebuah episod khas berdurasi panjang bertajuk 'Ashin of the North' telah diterbitkan. Episod khas ini memberi tumpuan kepada watak sampingan Ashin, yang dilakonkan oleh Jun Ji Hyun. 

Secara keseluruhannya, Kingdom bukan sekadar kisah tentang zombie, tetapi turut mengetengahkan perebutan kuasa, politik istana, pengkhianatan dan perjuangan untuk terus hidup dalam suasana Korea pada zaman Joseon.

Drama Kingdom  dibintangi oleh Ju Ji Hoon, Bae Doona, Ryu Seung Ryong, Kim Sang Ho, Kim Sung Kyu dan Kim Hye Jun.

Kingdom

Baca juga: All Of Us Are Dead

Sinopsis Kingdom

Kingdom mengisahkan tentang Putera Mahkota Lee Chang yang juga merupakan satu-satunya anak kepada Maharaja Joseon cuba digulingkan oleh Permaisuri dan Puak Haewon Cho.

Dalam masa yang sama, tersebar khabar angin bahawa Maharaja telah mangkat selepas jatuh gering. Namun, Lee Chang dihalang daripada bertemu dengan ayahandanya.

Curiga dengan keadaan tersebut, Lee Chang bersama pengawal peribadinya, Mu Yeong mula mencari jawapan tentang keadaan sebenar Maharaja.

Penyiasatan mereka akhirnya membawa kepada sebuah kampung yang dilanda wabak misteri. Apa yang pada mulanya kelihatan seperti penyakit biasa bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih mengerikan apabila orang yang telah mati kembali hidup dan menyerang manusia.

Lee Chang kemudiannya terpaksa berdepan dengan dua ancaman pada masa yang sama, wabak zombie yang semakin merebak dan musuh politik yang mahu merampas takhtanya.

Dalam usaha menyelamatkan rakyat dan negaranya, Putera Mahkota perlu mencari punca wabak tersebut sebelum wabak terus menular ke seluruh Joseon.

Senarai Pelakon Kingdom

Kingdom

Antara pelakon utama drama Korea Kingdom ialah:

  • Ju Ji Hoon sebagai Lee Chang, Putera Mahkota Joseon.
  • Bae Doona sebagai Seo Bi, seorang tabib Dongnae.
  • Ryu Seung Ryong sebagai Lord Cho Hak Ju, Ketua Penasihat Negara Joseon, ketua klan Haewon Cho dan juga pesaing politik Lee Chang.
  • Kim Sung Kyu sebagai Yeong Shin, seorang pemburu harimau misteri dari selatan yang merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat daripada wabak pertama.
  • Jeon Seok Ho sebagai Cho Beom Pal, Magistrat Dongnae dan anak saudara kepada Cho Hak Ju.
  • Kim Hye Jun sebagai Queen Consort Cho, Permaisuri Joseon yang juga anak perempuan Cho Hak Ju, adik kepada Cho Beom Il dan ibu tiri kepada Lee Chang.
  • Kim Sang Ho sebagai Mu Yeong, pengawal peribadi setia Putera Lee Chang.
  • Huh Joon Ho sebagai Lord Ahn Hyeon, bekas gabenor dan pernah menjadi mentor kepada Lee Chang.
  • Jun Ji Hyun sebagai Ashin, seorang wanita misteri dari Wilayah Hamgyong.
  • Kim Si A sebagai Ashin remaja.
  • Park Byung Eun sebagai Min Chi Rok, Ketua Komander Diraja.
  • Koo Kyo Hwan sebagai Ai Da Gan, ketua suku Pajeowi yang hidup secara nomad daripada bangsa Jurchen.
  • Kim Roi Ha sebagai Ta Hab, bapa kepada Ashin dan ketua suku Seongjeoyain.

Ulasan Drama All Of Us Are Dead

Kingdom

Waktu Ai pilih nak tengok Kingdom, Ai sebenarnya tak tahu pun cerita ini tentang zombie. Mungkin sebab sebelum itu Ai tengok All of Us Are Dead, Netflix asyik keluarkan Kingdom dalam suggestion.

Kingdom mempunyai dua musim utama dan setiap musim ada 6 episod. Ai boleh habiskan dua musim dalam masa satu hari satu .

Cerita dia laju dan tak meleweh-leweh macam sesetengah drama Korea yang terlalu panjang. Orang putih kata, straight to the point.

Jadi tak bosan nak tengok lagi dan lagi dan lagi. Ai harap akan ada season 3 dalam masa terdekat.

Pada Ai, Kingdom sebenarnya boleh sahaja ditamatkan selepas Season 2. Tetapi cerita kemudiannya dikembangkan lagi dengan kemunculan Ashin.

Stres nak tunggu season 3 yang tak keluar-keluar tu.

Baca juga: I'm Not A Robot

Sambutan Positif Kingdom

Kingdom

Kingdom menerima sambutan positif daripada pengkritik dan penonton, khususnya kerana sinematografi, jalan cerita, aksi dan cara siri ini menggabungkan genre zombie dengan latar sejarah Korea.

Elemen politik, perebutan kuasa dan jurang antara pemerintah dengan rakyat turut menjadi antara aspek yang paling dipuji.

Musim kedua dianggap berjaya mengekalkan kekuatan musim pertama sambil mengembangkan kisah wabak zombie dengan lebih mendalam.

Malah, The New York Times turut menyenaraikan Kingdom sebagai salah satu rancangan antarabangsa terbaik pada tahun 2020.

Selepas Netflix melaporkan kejayaan besar Kingdom di peringkat global, penulisnya, Kim Eun-hee mengakui bahawa dia sendiri tidak pernah menyangka Kingdom akan mendapat sambutan sebegitu. 

Dulu, bila dengar je ada orang pilih untuk tinggal seorang diri atau 'solo living', ramai anggap dia kesunyian atau hidupnya tak bahagia. Hakikatnya, tanggapan itu tidak relevan sama sekali.

Hidup ni kan ada pilihan. Nak tinggal seorang diri ke, berdua atau beramai-ramai, itu adalah pilihan masing-masing ikut kemampuan poket dan keselesaan sendiri

Hari ini, solo living bukan lagi sesuatu yang pelik. Malah, semakin ramai pilih untuk hidup bersendirian kerana mahukan kebebasan, ketenangan dan ruang privasi. 

Ada yang tinggal seorang diri kerana kerjaya, ada yang baru melalui perceraian, ada juga yang memang sejak awal lebih selesa mempunyai ruang sendiri.

Ramai yang mempunyai keluarga rapat, sahabat baik dan kehidupan sosial yang aktif, tetapi tetap memilih untuk pulang ke rumah yang hanya dihuni oleh diri sendiri.

Jadi, apa sebenarnya maksud solo living? Kenapa gaya hidup ini semakin popular di seluruh dunia?

Solo Living

Baca juga: Misteri Fairy Circles

Apa Itu Solo Living?

Secara ringkasnya, solo living adalah keadaan apabila seseorang tinggal seorang diri dalam sesebuah kediaman.

Namun sebenarnya, istilah ini merangkumi pelbagai situasi kehidupan. Ada yang memilih untuk tinggal sendiri atas kehendak sendiri, ada juga yang terpaksa melalui fasa ini disebabkan perubahan hidup.

Antara golongan yang menjalani solo living adalah:

  • Mereka yang bujang dan mahu berdikari.
  • Mereka yang berpindah dari rumah sewa bersama rakan kepada rumah sendiri.
  • Mereka yang bercerai, berpisah atau kehilangan pasangan hidup.
  • Ibu atau bapa yang anak-anaknya sudah dewasa dan berpindah keluar.
  • Mereka yang bekerja secara fleksibel dan sering berpindah-randah.

Pendek kata, tiada satu definisi khusus tentang siapa yang sesuai menjalani hidup sendiri kerana setiap orang mempunyai kisah yang berbeza.

Solo Living Tidak Semestinya Tinggal Di Rumah Besar

Solo Living

Ramai membayangkan hidup bersendirian bermaksud memiliki apartmen mewah di tengah bandar. 

Macam yang selalu ditunjukkan oleh artis dan influencer tentang kehidupan mereka. Atau mungkin ada yang terpengaruh dari drama atau filem.

Korang salah ya sebab bukan semua orang berkemampuan. Kalau bayangkan sahaja dah boleh hidup selesa, pasti tak ada orang susah dalam dunia ni.

Ada yang tinggal di rumah sendiri, rumah sewa, studio apartment, kondominium, malah ada juga yang tinggal di rumah bot, campervan atau caravan. Bawah jambatan pun ada.

Lokasinya juga pelbagai. Ada yang memilih tinggal dalam bandar yang sibuk dan ada juga yang lebih selesa tinggal jauh dari kesibukan bandar demi ketenangan.

Asalkan dalam rumah itu mereka seorang diri tanpa gangguan, itu dah capai matlamat mereka yang memilih untuk solo living.

Kenapa Semakin Ramai Memilih Solo Living?

Kalau nak dibandingkan dulu dan sekarang, jumlah individu yang tinggal bersendirian semakin meningkat. Perubahan ini berlaku kerana beberapa faktor.

1. Mahu lebih berdikari

Ramai merasakan mereka lebih bebas membuat keputusan apabila tinggal sendiri. Tak ada lagi giliran cuci tandas atau siapa yang guna bil lebih banyak. Segala keputusan berada di tangan sendiri.

2. Kerjaya yang lebih fleksibel

Zaman sekarang ramai bekerja secara jarak jauh atau remote working. Ada yang bebas bekerja dari mana-mana lokasi asalkan mempunyai komputer riba dan sambungan internet. Disebabkan itu, tinggal seorang diri menjadi pilihan yang lebih praktikal.

3. Perubahan dalam kehidupan

Tidak semua orang memilih solo living. Ada yang melaluinya selepas perceraian, kematian pasangan, anak-anak berpindah keluar atau berpindah ke bandar lain kerana pekerjaan.

Walaupun permulaannya sukar, ramai akhirnya belajar menyesuaikan diri.

4. Masyarakat semakin terbuka

Jika dahulu tinggal seorang diri sering dipandang negatif, kini masyarakat lebih memahami bahawa setiap orang mempunyai cara hidup yang berbeza.

Bahagia bukan hanya diukur melalui status perkahwinan atau bilangan penghuni dalam rumah.

Solo Living Sebagai Pilihan Gaya Hidup

Solo Living

Bagi sesetengah individu, tinggal bersendirian bukanlah fasa sementara tetapi satu pilihan jangka panjang. Mereka merasakan ruang peribadi membantu mereka menjadi lebih tenang, lebih kreatif dan lebih mengenali diri sendiri.

Ada juga pasangan yang saling mencintai tetapi memilih tinggal di rumah berasingan kerana ia lebih sesuai dengan keperluan masing-masing.

Ini membuktikan bahawa hidup bersendirian tidak bermaksud seseorang itu sunyi atau gagal membina hubungan. Sebaliknya, ia hanyalah cara hidup yang dirasakan paling sesuai.

Cabaran Hidup Bersendirian

Tak semua yang indah, ada juga cabaran yang perlu dihadapi. Korang perlu uruskan semua perkara sendiri. Bayar bil, masak, beli barang dapur, mengemas dan sebagainya.

Bila jatuh sakit atau keletihan, tak ada orang lain di rumah untuk membantu.

Melainkan korang banyak duit, semua benda boleh dibayar termasuk lah orang untuk menguruskan rumah supaya sentiasa rapi.

Kos Sara Hidup Lebih Tinggi

Solo Living

Apabila memilih tinggal bersendirian, korang kena ingat bahawa semua perbelanjaan ditanggung sendiri. Kos hidup akan jadi lebih tinggi.

Semua benda tidak lagi dikongsi seperti ketika tinggal bersama pasangan atau rakan serumah. Namun kelebihannya ialah anda bebas mengurus kewangan mengikut keutamaan sendiri.

Kesihatan Mental Yang Lebih Baik

Bagi sesetengah individu, ketenangan merupakan bentuk penjagaan diri atau yang paling bermakna. Ruang yang tenang membantu mengurangkan tekanan, memberi peluang berehat dan memulihkan tenaga selepas hari yang sibuk.

Solo Living Bukan Untuk Semua Orang

Jangan tengok gaya hidup orang lain macam seronok, bergaya atau nampak ada kelas, korang nak tiru cara mereka.

Solo living bukan setakat kena pastikan korang mampu dari segi kewangan, tetapi juga mampu dari segi fizikal dan mental.

Untuk Ai, memang tidaklah nak pilih hidup solo living. Sekurang-kurangnya kena berdua dalam satu rumah.

Kita ni penakut macam mana pula wak. Tengok muka dekat cermin pun kadang-kadang terperanjat sendiri. Inikan pula nak tinggal seorang diri. Ligat otak ni bergaduh-gaduh nak fikir benda-benda yang negative. 

Tapi yang bagusnya, Ai akan selalu berjaga-jaga. Insya-Allah.

Pada Ai, tak kisah lah berapa orang pun dalam rumah tu, yang penting kita rasa tenang di dalamnya. Dan Ai tak tenang kalau tinggal seorang. Haa gitu perumpamaannya.

Korang pilih yang mana? Solo living atau shared living?

Big Stage Rocketfuel yang dijurikan oleh Hael Hussaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad telah pun melabuhkan tirainya pada Ahad yang lalu. 

Selepas lapan minggu menyaksikan persembahan para peserta, akhirnya Hussain dinobatkan sebagai juara, diikuti Adam Nadzmie di tempat kedua dan Ranisha di tempat ketiga.

Tahniah kepada semua! Semoga kejayaan di Big Stage Rocketfuel menjadi satu lagi langkah untuk mereka terus bersinar dalam industri seni selepas ini.

Tapi selain persembahan para peserta, ada satu lagi perkara yang Ai rasa ramai sebenarnya tunggu setiap minggu, fesyen Aisha Retno di Big Stage Rocketfuel.

Fesyen Aisha Retno

Sebagai salah seorang juri tetap, Aisha Retno boleh dikatakan tak pernah gagal memberikan look yang menarik perhatian. Setiap minggu sentiasa tampil cantik dan bergaya.

Selama mengikuti perkembangan Aisha dalam industri seni, Ai perasan dia memang cukup serasi dengan gaya klasik, feminin dan mempunyai sentuhan Nusantara atau Indonesia. 

Mungkin kerana latar keturunannya juga, ditambah pula dengan wajahnya yang manis dan klasik moden, gaya sebegini memang nampak begitu natural apabila digayakan olehnya.

Tapi sebenarnya Aisha Retno pakai apa pun cantik. Cuma kebetulan Ai memang peminat gaya klasik, jadi Ai sangat tertarik dengan fesyen yang dibawa.

Sepanjang lapan minggu Big Stage Rocketfuel, ini antara 8 fesyen Aisha Retno yang paling menarik perhatian Ai.

Baca juga: 10 tip memilih pakaian untuk nampak lebih slim

8 Fesyen Baju Aisya Retno Di Big Stage Rocketfuel

Minggu 1

Fesyen Aisha Retno

Ramai yang dapat meneka Aisha akan muncul dengan tema yang berinspirasikan Puteri Gunung Ledang. Al-maklumlah, bakal menggalas watak utama sebagai Gusti Putri dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.

Menariknya, kebaya custom-made daripada Tiara Awatif ini merupakan rekaan pertamanya untuk Aisha Retno dan antara busana paling rumit yang pernah dihasilkan.

Keseluruhan outfit disiapkan dalam tempoh kurang daripada seminggu, manakala velvet train pula hanya ditambah dua hari sebelum persembahan.

Tali pinggang yang dikenali sebagai angkin itu pula direka dengan mengambil inspirasi daripada aksesori ikonik Gusti Putri dalam filem Puteri Gunung Ledang. Ear cuff turut direka khas bagi melengkapkan keseluruhan penampilan.

Look ini nampak begitu regal dan dramatic seperti Puteri Gunung Ledang versi moden dengan aura yang kuat, elegan dan ada identiti tersendiri.

Minggu 2

Fesyen Aisha Retno

Untuk minggu kedua, style Aisha Retno berubah kepada sesuatu yang lebih manis dan dreamy. Look ini memberikan aura Glinda yang penuh magis, pada masa yang sama ada sentuhan Nusantara yang membuatkan penampilan ini terasa lebih dekat dengan identiti Aisha sendiri.

Rekaan ini juga dihasilkan oleh pereka muda, Tiara Awatif.

Menurut Tiara, Aisha pernah mewakili Malaysia ke tayangan perdana Wicked di Singapura pada tahun sebelumnya. Jadi, penampilan ini terasa seperti satu tribute kecil kepada perjalanan tersebut.

Elemen Nusantara pula hadir melalui tali pinggang yang diinspirasikan daripada kebaya. Aplikasi rama-rama dan bunga yang dibuat secara handcrafted pula memberikan sentuhan magis kepada keseluruhan look.

Detail-detail kecil inilah yang membuatkan baju Aisha Retno kali ini nampak begitu dreamy dan feminin.

Minggu 3

Fesyen Aisha Retno

Minggu ketiga Aisha Retno tampil dengan look Gadis Kretek yang klasik, sedikit misteri tetapi cukup memikat. Kebaya Janggan baldu dengan potongan berstruktur ini tampil agak berbeza daripada look minggu sebelumnya.

Bahu berpadding dan siluet hourglass menyerlahkan lagi bentuk tubuh Aisha, tetapi masih mengekalkan sisi elegan dan sophisticated.

Namun, detail yang paling mencuri perhatian adalah burung nightingale yang dihiasi manik pada kebaya tersebut.

Simbol burung ini menggambarkan perjalanan Aisha sendiri sebagai seorang penyanyi daripada peserta Big Stage dan kini kembali ke pentas yang sama sebagai salah seorang juri. Aisha betul-betul dah terbang tinggi!

Ai suka bagaimana satu elemen kecil pada busana boleh membawa cerita yang lebih besar tentang perjalanan seseorang.

Minggu 4

Fesyen Aisha Retno

Dalam banyak-banyak fesyen Aisha Retno di Big Stage Rocketfuel, Ai paling suka look minggu keempat ini. Korang mampu nak letak bunga cenderawasih atas kepala macam ni?

Bila Aisha panggil bunga ini bunga kantan, Ai pun dah mula terbayang bunga kantan. Sekali tengok balik, eh, bukan bunga kantan rupanya!

Untuk minggu keempat, Aisha Retno tampil dengan look yang penuh dengan elemen bunga.

Daripada corset hinggalah ke skirt songket yang dihiasi sulaman bunga, lengkap dengan headpiece yang membuatkan Aisha nampak macam flower fairy betul.

Ai suka sebab walaupun look ini penuh dengan bunga dan detail, ia masih nampak moden dan mempunyai karakter Aisha. Songket pula dibawa dalam cara yang lebih playful dan kontemporari, tetapi keindahan tradisionalnya masih terasa.

Tahniah Tiara Awatif untuk rekaan yang kreatif dan mempesonakan ini.

Minggu 5

Fesyen Aisha Retno

Selepas empat minggu tampil dalam busana rekaan Tiara Awatif, minggu kelima Aisha Retno beralih pula kepada rekaan Rizman Ruzaini.

Kali ini, Aisha tampil dalam jaket hitam yang sarat dengan sulaman manik berkilauan, lengkap dengan headpiece yang melengkapkan keseluruhan look. 

Sulamannya penuh. Batu permata kecil, labuci serta manik kaca disusun satu persatu membentuk motif flora klasik. Kolar lebar berwarna hitam dan padded shoulders pula memberikan sentuhan moden kepada keseluruhan rekaan.

Selain Aisha Retno, Rozita Che Wan juga pernah tampil dalam rekaan yang sama ketika Kuala Lumpur Fashion Week 2026 (KLFW2026).

Katanya, “Fashion is not just what you wear… it’s how you carry it.” 

Pada Ai, Che Ta pakai lah apa pun, baju kelawar nak masuk tidur pun masih letupan. Cantik uollsss!

Dan Aisha juga tidak mengecewakan. Tetap slay membawakan look ini sebagai juri Big Stage Rocketfuel.

Minggu Suku Akhir

Fesyen Aisha Retno

Lemahnya Ai tengok rekaan klasik dengan tema flora macam ini. Memang favourite Ai!

Busana daripada Thalia Atelier ini bukan sekadar menjadi satu lagi look untuk Aisha Retno. Kalau dibuat khas untuk Aisha, wajib nampak dan rasa begitu Aisha.

Setiap lapisan pada rekaan ini seolah-olah membawa cerita tersendiri tentang seorang wanita yang bangga dengan akar Nusantaranya, tetapi pada masa yang sama tidak takut untuk menggayakannya dengan cara sendiri.

Songket, lace, motif flora dan sedikit sentuhan edge digabungkan dalam satu rekaan yang nampak klasik, tetapi tetap mempunyai karakter moden.

Dan mungkin itu yang paling menarik tentang fesyen. Apabila sesuatu rekaan yang asalnya dicipta oleh seseorang akhirnya terasa begitu dekat dengan individu yang memakainya, ia bukan lagi sekadar rekaan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.

Minggu Separuh Akhir

Fesyen Aisha Retno

Untuk minggu separuh akhir, Aisha Retno tampil dengan warna putih suci pula. Dan seperti biasa, bunga atas kepala tetap tak tinggal.

Signature beaded kebaya ini semestinya daripada Tiara Awatif, lengkap dengan delicate flower appliqué yang dibuat khas untuk Aisha.

Tetapi yang menariknya, kebaya ini turut digayakan bersama rekaan karya Rizman Ruzaini, khususnya pada bahagian korset dan bottom busana tersebut.

Bila dua pereka hebat bergabung, hasilnya memang wow! Look ini nampak lembut dan feminin, tetapi dalam masa yang sama tetap mempunyai aura tersendiri.

Putih dari atas sampai ke bawah, dengan perincian manik yang cukup halus dan bunga sebagai sentuhan akhir.

Simple, tetapi tetap mencuri perhatian.

Minggu Grand Finale

Fesyen Aisha Retno

Look minggu akhir Big Stage Rocketfuel ini antara yang Ai paling suka. Bak kata Michael Ang, “very exotic.”

Sekali pandang sahaja dah boleh tahu baju ini hasil rekaan Rizman Ruzaini. Ada signature yang cukup kuat pada siluet dan keseluruhan look tersebut.

Pada mulanya Ai ingatkan Aisha pakai crop tau, rupanya jacket. Kalau nak tengok versi asalnya, boleh tengok semula runway KLFW 2026 di mana model memakainya tanpa jaket tersebut dipinkan. Pada Ai, dua-dua pun nampak cantik. Ada variasi untuk memakainya.

Look ini datang daripada koleksi 'Lemari Nyonya'. Rizman Ruzaini mengangkat keindahan warisan Nyonya dalam interpretasi yang lebih moden dan sophisticated.

Tradisi masih terasa, tetapi keseluruhan look tetap nampak berani, sensual dan contemporary seperti seorang wanita yang membawa sejarah dengan penuh keyakinan.

Dan seperti biasa, aksesori turut memainkan peranan penting dalam melengkapkan keseluruhan penampilan.

Berapa Kos Fesyen Aisha Retno Sepanjang Big Stage Rocketfuel?

Agak-agak korang, berapa kos untuk setiap busana yang digayakan Aisha Retno sepanjang lapan minggu menjadi juri tetap Big Stage Rocketfuel?

Abu Shaef Hamza selaku penata gaya Aisha hanya mengesahkan bahawa jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk busana dan imej yang digayakan Aisha mencecah puluhan ribu ringgit. Korang boleh baca di sini.

Dengan busana daripada pereka terkenal, aksesori, solekan, styling dan pelbagai detail lain, tak mustahil kos keseluruhannya memang agak tinggi.

Fesyen Aisha Retno yang Mana Jadi Pilihan?

Fesyen Aisha Retno

Setiap minggu Aisha Retno membawakan fesyen yang berlainan. Daripada lapan look ini, semua Ai suka. Tapi paling suka look minggu keempat.

Korang pula paling suka yang mana?

Older Posts Home

Hello

Aisya Ismail
“Good things make people feel something.”

Berkongsi perspektif tentang fesyen, penulisan kreatif, gaya hidup, resipi dan pelbagai perkara yang random.

SUBSCRIBE & FOLLOW

POPULAR POSTS

  • CARA DOWNLOAD VIDEO DARIPADA YOUTUBE
  • Drama Korea : Kingdom Season 1 & 2
  • Akar Villa, Port Dickson: Family Day Untuk 25 Orang
  • Staycation 2 Hari 1 Malam di Cyberview Resort & Spa
  • Solo Living: Kelebihan Hidup Bersendirian Yang Semakin Menjadi Pilihan

Advertisement

Copyright © Aisya Ismail. Designed by OddThemes